Followers

Kematian Osama Bin Laden] Respon dan Ulasan Dua Pemimpin Malaysia

0 comments
ulasan Dato' Seri Najib Razak
ketiadaan Osama bukan jaminan berakhirnya terorisme

DUNIA bagaikan terkejut apabila Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengumumkan pemimpin tertinggi rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden telah dibunuh.

Pemimpin al-Qaeda kelahiran Arab Saudi yang hidup di dalam persembunyian itu dilaporkan terbunuh dalam satu operasi khas tentera Amerika Syarikat (AS) di sebuah rumah di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad, Pakistan.

Kematian Osama disambut gembira oleh rakyat AS dan negara-negara sekutunya. Tetapi mungkin berbeza dengan golongan yang bersimpati dengan perjuangan Osama.

Osama didakwa sebagai perancang serangan 11 September 2001 di AS, tindakan yang membawa kepada pencerobohan Washington di Afghanistan kerana rejim Taliban dipercayai melindungi ketua al-Qaeda itu.

Sekian lama tentera AS yang mengetuai operasi memburu Osama, gagal menjejakinya. Jika benar Osama telah berjaya dibunuh, apakah kematiannya itu mampu mengembalikan keamanan kepada masyarakat dunia?

Begitu juga seluruh umat Islam mengharapkan dunia tanpa kegiatan terorisme boleh menjadi kenyataan. Paling utama seperti kata Najib, kematian Osama akan dapat memulihkan semula nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif dibawa oleh pengasas al-Qaeda itu.Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kematian pengasas al-Qaeda itu diharap akan membuatkan dunia akan menjadi lebih aman, selamat dan adil.

Sejak tragedi 11 September 2001, ada sahaja siri keganasan dan serangan bom berani mati di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong Barat sebagai sasaran kumpulan al-Qaeda.

Setiap kali kegiatan keganasan dilakukan oleh pengikut setia Osama, maka nama Islam turut terpalit. Islam digambarkan agama yang menyokong keganasan. Pada hakikatnya agama suci ini tidak demikian.

Walaupun Osama dilaporkan sudah mati tetapi ketiadaannya bukan jaminan keganasan telah berakhir. Keamanan atau kemusnahan dunia bukan di tangan Osama yang pernah dijadikan kambing hitam pada era George W. Bush.

Ini yang kita amat khuatir. Apakah dunia kembali aman atau akan berlaku siri keganasan sebagai tindakan balas dendam daripada pengikut dan penyokong Osama dan al-Qaeda.

Sudah beberapa kali kita saksikan, tindakan ketenteraan untuk mengatasi ancaman pengganas dilihat gagal mengurangkan aktiviti keganasan.

Kita juga perlu melihat punca keganasan ini daripada aspek persekitaran seperti ketidakadilan, kemiskinan dan ketidaksamaan ekonomi.

Apa pun, semua pihak harus bertenang dengan kematian Osama. Inilah masanya penduduk bumi padamkan tanggapan dan salah faham terhadap Islam dan keganasan. Dunia perlu bersatu perangi keganasan.


Respon Tuan Guru Nik Aziz

1.Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam. Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain.

2.Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut. Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti.

3.Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin ? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel. Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas.

4.Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.

5.Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?
Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M

0 comments:

Catat Ulasan

Tinggalkan Comment Anda Di Sini.
Satu pun jadi lah ! hehe.

Sitemap

 
Copyright © Since 2009-2011 All Rights Reserved. Editer By Saleh Marzuki ☺ Design For Budak Malas Sikat Rambut ☺ Sported By KawanBlogger Yang Mengempakkan Dunia Cyber Anda! ☺ Lisenses From Creative Commons Attribution 3.0 ☺ Penaja Bersama NuffnangAdvertlets Yang Terus Memajukan Belog Ini Ketahap Terbaik Dan Kini Amat Membanggakan ! Hak Cipta Terpelihara ™