Tentang 313 dan baiah fisabilillah
Jika 313 merujuk kepada Surah 3, ayat 13: Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah) dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).Al-Imran ayat 13 Maksud surah Al-Imran ayat 13 amat sesuai sekali dengan isu semasa di Malaysia ini.
Jika 313 merujuk pula kepada Surah 31, ayat 3: Menjadi hidayat petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik.-Surah Luqman ayat 3
Baiah merupakan perjanjian untuk memberi ketaatan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ianya merupakan perbuatan sunnah Nabi S.A.W.
1) BAI’AH ‘AQABAH
Sebelum berlaku peristiwa Hijrah, sejarah mencatatkan bahawa pada musim haji 620 – 621 M (Orang Arab Jahiliyyah setiap tahun masih melakukan upacara haji, tetapi telah menyeleweng daripada syariah Nabi Ibrahim dan Ismail) beberapa orang tokoh Islam Madinah telah menyatakan simpati dan berikrar menyokong serta memberikan sumpah setianya kepada baginda Rasulullah SAW apabila baginda berhijrah ke Madinah untuk mengembangkan agama Islam dari sana.
Sumpah setia mereka ini dinamakan “bai’ah” dan berlangsung di satu lembah berhampiran dengan Makkah yang bernama ‘Aqabah sehingga perjanjian taat setia ini di kenali dengan “bai’ah ‘Aqabah” yang terkenal dalam sejarah.
Ubadah bin Shamit meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW mengambil sumpah setia kami pada malam pertama di ‘Aqabah, bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa pun juga, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan berdusta, melindungi apa saja yang ada di depan atau di belakang kami dan tidak membantah perintah baginda dalam hal kebajikan.”
Ketika itu Rasulullah SAW bersabda :
Jika kamu sekalian menunaikan semua janji itu, maka kamu akan mendapat syurga, (tetapi) jika kamu memungkiri sebarang janji tersebut, maka kamu akan dikenakan hukum dunia (dalam bentuk) kaffarah (denda). Dan jika kamu mengingkari janji itu secara senyap-senyap hingga hari kiamat, maka hal itu kembalilah kepada Allah, jika dikehendaki-Nya kamu akan diseksa, dan jika dikehendaki-Nya juga, kamu akan diampunkan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ikrar taat setia dan sumpah janji para muslimin dari Madinah dalam upacara Bai’ah ‘Aqabah itu merupakan ikrar mereka untuk melaksanakan tatacara kehidupan sebagai satu umat muslimin yang berbeza daripada cara hidup kaum musyrikin yang menyekutukan Tuhan dan menjalani gejala hidup jahiliyyah yang bertentangan dengan ajaran dan nilai kerohanian Islam. Malah lebih penting lagi dalam perjanjian itu ialah taat setia mereka kepada Rasulullah SAW dalam mengerjakan segala amalan kebajikan mereka.
Gejala hidup mereka yang merupakan keganasan, membunuh sesama manusia, membunuh anak perempuan yang dilahirkan, mencuri, berzina dan perbuatan mungkar lainnya haruslah ditinggalkan sama sekali dalam kehidupan seorang muslim. Segala kemungkaran yang disebutkan dalam ikrar ini adalah ibu segala dosa dan punca kepada kehancuran manusia di dunia ini. Sebab itulah Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka supaya apa yang mereka ikrarkan itu hendaklah direalisasikan dan diamalkan dalam kehidupan mereka, dan mengingkarinya merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman dunia. Sekiranya dilakukannya secara rahsia, maka terserahlah kepada Allah SWT untuk membalasnya di akhirat nanti.
Sumpah taat setia seperti yang tercatat di atas adalah merupakan bai’ah pertama antara Muslimin Madinah dengan Rasulullah SAW. Selepas perjanjian pertama ini, maka kaum Ansar itu pun berangkat pulang ke Madinah, dan Rasulullah SAW mengutuskan seorang sahabat kepercayaannya turut serta bersama-sama mereka ke Madinah dengan diberikan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat Madinah bagi memahami ajaran Islam dan kandungan kitab suci al-Quran. Utusan yang dihantarkan itu ialah Mush’ab bin ‘Umair. Beliau juga ditugaskan untuk menyaksikan perkembangan penyebaran agama Islam di Madinah.
Dicatatkan juga dalam sejarah bahawa Mush’ab bin ‘Umair telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, dan beliau kembali ke Makkah setahun kemudian iaitu menjelangnya musim haji berikutnya, serta melaporkan kepada Rasulullah SAW tentang sambutan baik penduduk Madinah terhadap Islam. Malah sebagai hasilnya Rasulullah SAW akan menyaksikan ketibaan rombongan ke Makkah bagi kali yang kedua pada musim haji itu sebagai rombongan yang akan menyembahkan taat setia kepada baginda.
2)BAI’AH AQABAH AL-KUBRA
Tiba masanya maka rombongan dari Madinah itu pun datanglah buat kali kedua bertemu dengan Rasulullah SAW, dan yang menariknya, mengikut sesetengah riwayat bahawa dalam rombongan ini terdapat dua orang wanita, iaitu Nasibah binti Ka’ab dan Asma’ binti ‘Amr bin ‘Adiy.
Satu kelainan dalam pertemuan kedua ini ialah permintaan baginda Rasulullah SAW supaya rombongan kedua ini hendaklah mengandungi 12 orang daripada mereka yang bertindak sebagai wakil daripada kabilah masing-masing, termasuk kabilah Khazraj dan Aus.
Rasulullah bersabda kepada mereka yang bermaksud :
“Kamu selaku pemimpin di atas kabilah masing-masing adalah bertanggungjawab atas keselamatan kabilahnya sendiri, sebagaimana Hawariyyin (12 orang murid Nabi Isa AS) bertanggungjawab atas keselamatan Isa putra Maryam, sedangkan aku bertanggung jawab atas kaumku sendiri (iaitu kaum Muslimin Makkah).”
Peristiwa bai’ah ‘Aqabah yang kedua ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri, maka sebab itulah peristiwa ini disebut sebagai Bai’ah ‘Aqabah al-Kubra, iaitu perjanjian ‘Aqabah yang terbesar.
3) Baiah Tentera Fisabilillah (Perang Badar)
Bai’ah taat setia Sahabat bersama Rasulullah s.a.w:
Maka Sa’ad bin Muaz pun berkata: “Demi Allah, kamu seolah-olah hendakkan kami wahai Utusan Allah.” Nabi s.a.w. menjawab: “Benar.” Berkata Sa’ad: “Seseungguhnya kami telah beriman dan membenarkan kamu, kami telah menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar belaka, dan kami menyatakan janji dan taat setia kami kepadamu, maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan bersamamu, dan demi Yang Mengutuskan kamu (Allah) dengan kebenaran, jika engkau membentangkan kepada kami lautan ini dan engkau menyeberanginya nescaya kami juga akan mengharunginya bersama kamu.”
Lalu Rasulullah s.a.w. berpegang dengan apa yang dikatakan Sa’ad sambil berkata: “Berangkatlah (berjuanglah pada jalan Allah) dan bergembiralah, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjanjikan kepadaku salah satu daripada dua puak…Demi Allah, seolah-olah sekarang aku melihat kepada kehancuran satu kaum (pihak musuh).”
Rasulullah telah memilih 313 orang untuk dibaiah kan....
Perang Badar Al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Perang itu berlaku pada tahun kedua Hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir Musyrikin seramai 1,000 orang.Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah sambil bermunajat: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembahMu di bumi ini."
Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar As-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah seraya berkata: "Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janjiNya kepadamu."
Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut." - (Surah Al-Anfal 8:9)
Para pejuang Badar ini telah dimuliakan Allah di dunia dan di akhirat.
0 comments:
Catat Ulasan
Tinggalkan Comment Anda Di Sini.
Satu pun jadi lah ! hehe.